Rezeki itu di tangan Allah.Siapa yang tak nak anak..?Allah tidak pernah berjanji bila kahwin itu akan dapat anak. Namun itulah yang paling diingini oleh mereka yang sudah bergelar suami isteri. Begitulah juga aku yang turut menginginkan seorang cahaya mata yang mungkin melengkapkan lagi kehidupan kami suami isteri.
Aku sah bergelar isteri pada 1/12/2012 dan majlis berlangsung dengan sangat lancar. Seminggu kemudian Majlis Resepsi kami. Aku berkongsi Majlis Resepsi dengan adik perempuanku. Walau macamana orang nak kata pun, kami tetap gembira walaupun bersama-sama melangsungkan majlis. Bak kata orang tua-tua tidak elok jika adik-beradik kahwin sekali.Namun bagi aku, majlis ini sudah cukup sempurna, dapat menjimatkan dan paling penting membahagiakan kedua orang tua kami. Majlis kenduri sebelah suami pula lebih meriah. Ini kerana 3 pasangan digandingkan bersama. Penat namun cukup membahagiakan kami suami isteri.
Selepas selesai segala majlis, lain pula kisahnya. Pastilah berita gembira yang ditunggu-tunggu dan dinanti-nanti.Semua akan bertanya..."Haa..dah ada isi ke?"..."Kau bila lagi?"..dan macam-macam lagi. Sebulan selepas majlis sebelah lelaki, berita gembira yang pertama datang dari biras aku (adik ipar suamiku)..Dalam pada itu, kegembiraan bersambung lagi apabila mendengar perkhabaran dari adik iparku pula (adik perempuan suami)..Kemudian, sebulan selepas itu, aku terima lagi berita yang adik perempuan aku sendiri pula yang bakal bergelar mummy. Dalam ketiga-tiga pasangan, hanya aku sahaja yang masih belum dikurniakan anugerah terindah ini.
Aku redha.Di kala semua sibuk menceritakan pengalaman masing-masing mengalami morning sickness, mengidam, lemah dan mual, aku hanya mendengar dengan senyuman di wajah. Dalam kegembiraan mereka, jauh di lubuk hati aku timbul rasa iri hati, sayu, hiba, sedih kerana tidak dapat menggembirakan orang tuaku yang menanti anak sulungnya ini memberikan cucu.Walaupun begitu, aku redha dengan ketentuan yang telah Allah rencanakan untuk kami suami isteri.
Mungkin kerana hubungan jarak jauh kami..Aku di Terengganu, suamiku di Selangor.Tapi, itulah yang telah ditakdirkan. Dia tidak memberi apa yang kita inginkan, tetapi memberi apa yang kita perlukan. Namun keinginan untuk mempunyai zuriat tidak pernah luput dan aku sentiasa berusaha, berdoa dan tawakal agar impian menjadi mama termakbul.